KUALA LUMPUR, 17 Jun- Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix hari ini mengumumkan perlumbaan pusingan kelima akan berlangsung di Dataran Seri Jempol, pada 16-17 Julai 2022 manakala pusingan kesepuluh akan berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 3-4 Disember 2022.
Menurut Ron Hogg, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn. Bhd. (SAM), keunikkan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix lahir daripada aksi perlumbaan di litar sementara yang selalunya menjadi tradisi perlumbaan Cub Prix.
"Misi kami sejak bermulanya penganjuran kejuaraan ini adalah untuk membawa kemeriahan aksi pelumba-pelumba nasional kita kepada masyarakat setempat selain hanya dapat menyaksikan perlumbaan ini di kaca televisyen ataupun dari jarak jauh seperti di litar-litar tetap,”kata Ron Hogg.
Tambahnya, litar tetap akan tetap diutamakan untuk terus menaikkan taraf sukan permotoran Malaysia dan berharap akan ada lebih banyak fasiliti, infrastruktur sukan permotoran dan litar yang akan dibina dalam negara ini.
“Bagi pihak Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, kami ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam perlumbaan nasional ini.
"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penaja kejuaraan (terutamanya kepada PETRONAS, penaja utama Kejohanan Malaysian Cub Prix) serta semua pasukan, pelumba dan agensi-agensi kerajaan serta masyarakat tempatan kita yang terus menyokong kami dalam merealisasikan misi and matlamat kami.”
Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix telah pun melepasi tiga pusingan menyaksikan Ahmad Afif Amran berada di kedudukan teratas carta pelumba CP150 selepas muncul juara di dua pusingan awal.
Begitupun, pada pusingan ketiga di Sepang, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing itu gagal mengekalkan rentak cemerlangnya apabila sekadar meraih 9 mata, menamatkan aksi di kedudukan ketujuh.
Seterusnya, perlumbaan akan berlangsung di Terengganu pada 25 dan 26 Jun ini.
(Jadual perlumbaan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix 2022)