(Pasukan Terengganu FC sedang menjalani latihan menjelang perlawanan
Liga Super esok/FOTO FB Terengganu FC)
KUALA NERUS, 17 Jun - Pengendali Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain akui risau faktor keletihan yang membelenggu pemain import, akan memberi kesan negatif kepada aksi Liga Super menentang KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam esok.
Menurut Nafuzi, dua tonggak utamanya Kpah Sherman dan Manuel Ott baru sahaja tiba di Kuala Terengganu petang semalam, selepas melalui beberapa siri perlawanan mewakili negara masing-masing.
“Manny (Manuel Ott) dan Sherman (Kpah Sherman) baru sahaja tiba selepas melalui perjalanan panjang kira-kira 30 jam. Begitu juga Shetembi (Petrus Shetembi) dari pasukan TFC ll, yang selalu beraksi dengan kita (TFC).
“Jadi saya perlu ambil kira faktor kecergasan, stamina dan keletihan sebelum memutuskan menurunkan mereka pada perlawanan malam esok,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Gong Badak.
Liga Super 2022 yang menampilkan 12 pasukan akan memulakan cabaran di pusingan kedua malam esok, selepas melalui tempoh rehat hampir dua bulan untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa dalam kalendar FIFA.
(Pengendali Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain/FOTO FB Terengganu FC)
Turut merunsingkan jurulatih berusia 44 tahun itu ialah masalah kecederaan ramai pemain muda TFC, yang mewakili skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) baru-baru ini.
Justeru beliau hanya mampu melatih serta menyediakan pemain yang ada untuk menghadapi pelbagai kemungkinan, dalam perlawanan yang dijangka penuh dramatik dan mencabar malam esok.
“Cabaran malam esok pastinya getir kerana persediaan...latihan kita tak dapat lakukan bersama secara skuad penuh, kerana ramai pemain utama TFC dipanggil mewakili skuad negara,” katanya yang turut terkesan dengan ketiadaan Faisal Halim.
Walau bagaimanapun, Nafuzi tetap berharap dapat membuka aksi pusingan kedua dengan kemenangan, bagi mencipta momentum positif untuk perlawanan akan datang. - BERNAMA