SAN FRANCISCO, 14 Mac- Bintang Golden State Warriors, Stephen Curry, mencipta sejarah sebagai pemain pertama dalam NBA yang mencapai 4,000 jaringan tiga mata, dalam kemenangan besar 130-104 ke atas Sacramento Kings pada Khamis.
Curry, yang hanya memerlukan dua jaringan tiga mata untuk memecah rekod tersebut, melakar kejayaan itu hanya beberapa hari selepas mencapai 25,000 mata sepanjang kariernya pada Sabtu lalu.
Pemain berusia 37 tahun itu mengambil masa sebelum melengkapkan detik bersejarah itu, yang sebelum ini dianggap mustahil, seiring dengan peranannya merevolusikan seni jaringan tiga mata dalam bola keranjang.
Curry menjaringkan tiga mata pertama pada penghujung suku pertama, melepaskan bola dari jarak 26 kaki untuk mencatat 3,999 jaringan tiga mata dalam kariernya.
Walaupun hanya melakukan tiga percubaan tiga mata sepanjang separuh masa pertama, Warriors tetap mendahului 61-51 menjelang rehat.
Kemeriahan di Chase Center, San Francisco, memuncak pada suku ketiga apabila Curry akhirnya mencapai angka 4,000 dengan satu jaringan dari jarak 27 kaki pada minit ke-8:19, melebarkan jurang kepada 72-63.
"Ia satu detik istimewa, terutama melakukannya di laman sendiri," kata Curry kepada TNT selepas perlawanan. "Ia permainan yang pelik, saya tidak dapat banyak percubaan hingga suku ketiga. Tapi tenaganya luar biasa." Curry menamatkan perlawanan dengan 11 mata.
Jurulatih Warriors, Steve Kerr, turut memuji ikon utama pasukan itu.
"Dia luar biasa, rasanya hampir setiap minggu dia memecahkan atau mencipta rekod baru. Kami dah terbiasa, tapi tetap rasa kagum," kata Kerr.
Pencapaian terbaru itu menambah lagi legasi Curry sebagai salah seorang pemain terbaik dalam sejarah NBA.
Sebelum kemunculan Curry, tiada pemain pernah mencatat lebih 3,000 jaringan tiga mata dalam karier mereka. Namun, pemain ini telah merevolusikan rekod tersebut sepanjang 16 musimnya bersama Warriors.
Pada 2005, Reggie Miller memegang rekod jaringan tiga mata terbanyak dengan 2,560 jaringan.
Ray Allen kemudiannya memecah rekod itu pada 2011 dan bersara pada 2014 dengan 2,973 jaringan.
Curry mengatasi rekod Allen tujuh tahun kemudian dan menjadi pemain pertama mencecah 3,000 jaringan tiga mata pada Disember 2021. Hanya seorang lagi pemain, James Harden dari Los Angeles Clippers, berjaya melepasi angka 3,000 dengan 3,127 jaringan.
Sejak Curry melintasi angka 3,000, persoalannya bukan lagi jika, tetapi bila dia akan mencapai 4,000.
Namun, persoalan sama ada Curry mampu mencapai 5,000 jaringan tiga mata masih belum terjawab. Kontraknya bersama Warriors berlangsung sehingga musim 2026-2027, tetapi beliau menyatakan hasrat untuk terus bermain selagi kesihatan dan prestasinya mengizinkan.
Ketika ditanya mengenai sasaran 5,000, Curry menjawab, "Saya fokus pada masa sekarang. Angka 2,974 pun terasa begitu lama dahulu. Tapi siapa tahu? Sekarang, saya hanya mahu kekal menikmati detik ini."- AFP