fb fb fb fb fb

Tarik diri saat akhir, Harry Brook digantung 2 tahun daripada IPL

Harry Brook / AFP

NEW DELHI, 14 Mac- Pemain kriket England, Harry Brook, digantung daripada menyertai Liga Perdana India (IPL) selama dua tahun selepas menarik diri pada saat akhir bagi memberi tumpuan kepada komitmen antarabangsa, menurut laporan media tempatan pada Jumaat.

Pemain berusia 26 tahun itu, yang disebut-sebut sebagai calon utama menggantikan Jos Buttler sebagai kapten pasukan kriket England, telah ditandatangani oleh pasukan Delhi Capitals bagi musim IPL yang akan bermula minggu hadapan.

Brook juga sebelum ini menarik diri daripada kontraknya bersama Delhi Capitals musim lalu susulan kematian neneknya.

Lembaga Kriket England dan Wales (ECB) telah dimaklumkan mengenai penggantungan Brook, menurut seorang pegawai Lembaga Kawalan Kriket India (BCCI) yang enggan dikenali kepada akhbar Indian Express.

Jelas pegawai itu, larangan tersebut adalah sebahagian daripada dasar yang telah dimaklumkan kepada setiap pemain sebelum mereka mendaftarkan nama untuk acara lelongan IPL tahun lalu.

Peraturan itu bertujuan mengelakkan pemain antarabangsa daripada menarik diri pada saat akhir daripada liga kriket T20 yang bernilai tinggi itu.

Bagaimanapun, pengecualian boleh diberikan, kebanyakannya disebabkan faktor kecederaan.

Brook dalam satu kenyataan di media sosial minggu ini memohon maaf secara terbuka kepada Delhi Capitals dan para penyokong kerana menarik diri daripada liga bagi memberi tumpuan kepada pemulihan dan komitmen antarabangsa.

Brook pernah beraksi satu musim dalam IPL bersama Sunrisers Hyderabad pada tahun 2023, dan mencatatkan abad 55 bola menentang Kolkata Knight Riders.

Musim IPL 2025 akan bermula pada 22 Mac dengan perlawanan pembukaan membabitkan juara bertahan Kolkata menentang Royal Challengers Bengaluru di Eden Gardens.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE