KUALA LUMPUR, 14 Mac - Cabaran Malaysia dalam saingan badminton All England berakhir selepas dua wakil terakhir negara, iaitu beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu campuran profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tersingkir di peringkat suku akhir hari ini.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Arena Utilita Birmingham, Pearly-Thinaah terpaksa akur apabila tewas kepada pasangan Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama, dalam straight set 17-21, 19-21 dalam pertarungan selama 41 minit.
Sementara itu, Soon Huat-Shevon turut menerima nasib yang sama apabila tewas kepada pasangan China, Jiang Zheng Bang-Huang Dong Ping.
Segala-galanya bermula dengan baik buat pilihan pertama kejohanan itu apabila mereka memenangi set pertama 21-18.
Namun, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari apabila momentum itu gagal diteruskan oleh pasangan suami isteri tersebut, menyebabkan mereka tewas dalam dua set berikutnya 8-21, 10-21 dalam aksi yang berlangsung selama 45 minit.
Mengulas mengenai perlawanan hari ini, Soon Huat mengakui bahawa gandingan China itu berjaya menampilkan aksi yang lebih baik dan konsisten berbanding mereka.
“Mereka memperagakan aksi yang konsisten dan memaksa kami melakukan banyak kesilapan,” katanya menerusi audio yang dikongsikan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
kejohanan bertaraf Super 1000 itu menawarkan hadiah wang tunai sebanyak USD1.45 juta (RM6.4 juta).
Kedua-dua beregu negara yang mara ke peringkat suku akhir masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak USD9,062 (RM40,281).- BERNAMA