LIVERPOOL, 15 Mac- Ketua pasukan Liverpool, Virgil van Dijk, menegaskan beliau tidak akan 'panik' berhubung masa depannya di Anfield meskipun kontraknya bersama The Reds bakal tamat hujung musim ini.
Kontrak semasa Van Dijk dijadual berakhir pada Jun dan setakat ini rundingan lanjutan kontrak masih belum membuahkan hasil. Ini bermakna, tempoh tujuh tahun kejayaan pemain pertahanan berusia 33 tahun itu bersama Liverpool mungkin tamat sekiranya tiada perjanjian baharu dicapai.
Namun, Van Dijk, yang akan memimpin Liverpool dalam perlawanan akhir Piala Liga menentang Newcastle di Wembley pada Ahad ini, tetap tenang dan tidak membiarkan situasi itu menjejaskan tumpuannya.
"Mungkin saya akan biarkan kontrak ini berjalan hingga ke penghujung musim dan masih tiada berita. Saya sendiri tidak pasti," katanya.
"Tapi saya tidak mahu mencetuskan sebarang kebimbangan. Saya hanya mahu fokus untuk memenangi 10 perlawanan seterusnya. Saya yakin menjelang penghujung musim nanti akan ada berita, tetapi berita apa, saya tidak tahu."
Van Dijk turut menegaskan bahawa proses perbincangan kontrak bukan sesuatu yang mudah.
"Ia bukan semudah berbincang sekali dua dan terus selesai. Ada banyak faktor yang perlu dipertimbangkan. Selagi saya kekal tenang, tiada sebab untuk sesiapa pun panik tentang apa yang bakal terjadi," tambahnya.
"Jika saya bimbang, anda pasti dapat lihat saya bermain dalam keadaan tertekan, tapi itu tidak berlaku. Saya sepenuhnya komited kepada Liverpool ketika ini dan tiada keraguan tentang perkara itu."
Liverpool kini mengungguli Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 15 mata, dalam usaha mereka memburu kejuaraan liga ke-20 yang menyamai rekod.
Kecemerlangan Van Dijk menjadi tonggak utama dominasi domestik Liverpool, dan pengurus pasukan, Arne Slot, turut menyatakan hasratnya untuk mengekalkan pemain Belanda itu.
"Apa yang saya tahu, saya mahu Virgil kekal di sini musim depan. Soal kontrak dan perbincangan lanjut bukan bawah bidang kuasa saya," kata Slot.-AFP