fb fb fb fb fb

Obor Olimpik 2026 rentas pergunungan Itali

Upacara penyerahan api Olimpik Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano-Cortina 2026 berlangsung di Stadium Panathenaic, Athens, Greece pada 4 Disember 2025/Foto REUTERS

ITALI, 3 Januari - Larian Obor Olimpik Musim Sejuk 2026 diteruskan di tengah Itali pada Jumaat apabila api Olimpik dibawa menuruni cerun bersalji sebagai sebahagian daripada siri larian menjelang temasya itu.

Peringkat ke-26 larian obor di Itali bermula di bandar Isernia sebelum melalui Castel di Sangro dan kawasan pergunungan berhampiran Roccaraso, dengan pembawa obor membawa api Olimpik menuruni gunung menggunakan ski.

Perjalanan dijadualkan berakhir di Pescara, kira-kira 200 kilometer di timur Rom, berhampiran pesisir Laut Adriatik.

Obor Olimpik sebelum ini dinyalakan di Olympia, Greece bulan lalu sebelum diserahkan kepada penganjur Itali pada awal Disember dan memulakan perjalanannya dari Stadio dei Marmi di Rom pada 6 Disember.

Larian obor itu dijangka merentasi kira-kira 12,000 kilometer, melalui kesemua 110 wilayah serta lebih 300 perbandaran di Itali.

Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 akan dianjurkan bersama oleh Milan dan Cortina d’Ampezzo dari 6 hingga 22 Februari, diikuti Sukan Paralimpik pada Mac.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD