fb fb fb fb fb

Prestasi hambar: Frank seru penyokong Spurs bersabar

Pengurus Tottenham Hotspur, Thomas Frank yakin mampu meraih semula kepercayaan penyokong sekiranya menang berdepan Sunderland dalam saingan Liga Perdana Inggeris Isnin ini/Foto REUTERS

LONDON, 3 Januari - Pengurus Tottenham Hotspur, Thomas Frank memahami kekecewaan penyokong susulan persembahan hambar ditambilkan pasukan ketika ini.

Frank dicemuh penyokong sendiri selepas keputusan seri tanpa jaringan menentang bekas kelabnya, Brentford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Jumaat.

Keputusan itu menyaksikan Spurs kini di tangga ke-12 EPL dengan hanya dua kemenangan daripada 10 perlawanan liga terakhir.

“Saya faham kekecewaan penyokong dan saya turut merasainya. Kami bekerja keras setiap hari,” kata Frank.

Beliau dilantik Jun lalu menggantikan Ange Postecoglou, namun mengakui pasukan kini dalam fasa peralihan dan berdepan jangkaan tinggi penyokong.

Beliau yakin sokongan peminat akan kembali sekiranya keputusan positif dicapai, sambil menegaskan kejayaan akan menyatukan pasukan dan penyokong.

Frank turut mengaitkan prestasi hambar dengan kecederaan pemain utama termasuk James Maddison dan Dominic Solanke, sambil menegaskan fokusnya ialah penambahbaikan berterusan menjelang aksi menentang Sunderland Isnin ini.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD