fb fb fb fb fb

Tiada perpindahan Januari, Amorim fokus skuad sedia ada

Ruben Amorim sedia turunkan pemain akademi ketika berdepan Leeds United dalam aksi Liga Perdana Inggeris Ahad ini susulan kecederaan beberapa tonggak utama termasuk kapten, Bruno Fernandes/Foto REUTERS

MANCHESTER, 3 Januari - Manchester United tidak merancang sebarang urusan keluar atau masuk pemain pada jendela perpindahan Januari menurut pengurusnya, Ruben Amorim pada Jumaat.

“Kami tidak berbincang mengenai sebarang perubahan skuad. Fokus kami adalah perlawanan seterusnya,” katanya kepada pemberita.

United yang akan bertandang ke laman Leeds United di Elland Road, Ahad ini berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan berpeluang naik ke tempat keempat jika menang serta dibantu keputusan perlawanan lain.

Amorim menjangkakan skuad yang sama seperti ketika seri 1-1 menentang Wolverhampton Wanderers pertengahan minggu lalu, sambil tidak menolak peluang pemain akademi diturunkan dalam perlawanan yang dijangka sengit.

Beliau turut menegaskan tiada pemain United memohon untuk meninggalkan kelab itu, meskipun laporan menyebut minat kelab Serie A, AS Roma terhadap penyerang kelahiran Belanda, Joshua Zirkzee.

Pengendali berusia 40 tahun itu juga sahkan dua pemain pertahanan, Harry Maguire dan Matthijs de Ligt akan terlepas aksi berdepan Leeds.

Kapten pasukan, Bruno Fernandes juga diketepikan akibat kecederaan hamstring, manakala Kobbie Mainoo masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan betis.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD