fb fb fb fb fb

Hakimi Iroly berazam lakukan terbaik hadapi Kejuaraan Dunia Motocross Grand Prix

KUALA LUMPUR, 17 Jun - Pelumba motocross negara, Muhammad Hakimi Iroly mengakui tempoh persiapan singkat dan faktor kekurangan litar sesuai di Malaysia mengganggu persiapannya menghadapi Kejuaraan Dunia Motocross Grand Prix, MXGP di Samota, Sumbawa, Indonesia.

Bagaimanapun pelumba berusia 19 tahun itu enggan mengalah sebaliknya berazam memberikan aksi terbaik dalam penyertaan sulung sebagai peserta 'wildcard'.

Hakimi ketika ini sedang giat menjalani latihan bagi memperbaiki teknik tunggangan sebelum berangkat ke Indonesia pada 22 Jun.

(Muhammad Hakimi Iroly)

"Kalau diikutkan daripada segi lompatan dan daripada segi minit dalam perlumbaan itu, seperti di Malaysia paling lama pun dalam 20 minit, di peringkat dunia mereka 30 minit, masa 30 minit itu mereka boleh kekalkan, jadi agak sukar sedikitlah," kata Hakimi di sini.

Sementara itu Pengurus ALS Motorsports, Nur Liyana Fazlien Sha'are yakin, program latihan disediakan jurulatih dari Indonesia mampu mempersiapkan pelumbanya menghadapi tempoh perlumbaan yang lebih panjang.

(Nur Liyana Fazlien Sha'are)

"Perlumbaan di Malaysia biasanya dalam 15 minit sahaja, 10 hingga 15 minit, jadi perlumbaan 30 minit ditambah dengan dua laps ini akan menjadi sangat mencabar kepada kami,"kata Nur Liyana.

Hakimi dan dua lagi pelumba L. Dharwin dan T. Pathipat akan bersaing dalam kelas MX2.

MXGP Samota akan berlangsung pada 24 hingga 26 Jun depan.

Media Baharu