fb fb fb fb fb

Liga Europa: Hatrik Fernandes bawa Manchester United ke suku akhir

Bintang Manchester United, Bruno Fernandes melakar hatrik sekali gus membawa pasukan berkenaan ke suku akhir Liga Europa / Foto REUTERS

MANCHESTER, 14 Mac-Bintang Manchester United, Bruno Fernandes menjaringkan hatrik ketika Manchester United mudah menewaskan Real Sociedad 4-1 untuk mara ke suku akhir Liga Europa, sementara Tottenham Hotspur turut melangkah ke pusingan lapan terbaik selepas kemenangan 3-1 ke atas AZ Alkmaar pada Khamis.

Manchester United, yang seri 1-1 dengan Sociedad pada perlawanan pertama, ketinggalan seawal minit ke-10 apabila Matthijs de Ligt mengasari Mikel Oyarzabal dan Oyarzabal berjaya menyempurnakan sepakan penalti. Namun, tuan rumah segera menyamakan kedudukan enam minit kemudian menerusi penalti yang disempurnakan Fernandes selepas Igor Zubeldia mengasari Rasmus Hojlund.

United memperoleh penalti kedua lima minit selepas rehat apabila Aritz Elustondo didakwa menjatuhkan Patrick Dorgu, dan Fernandes sekali lagi tidak mensia-siakan peluang itu. Sociedad semakin tertekan apabila Jon Aramburu dilayangkan kad merah selepas mengasari Joshua Zirkzee. Fernandes melengkapkan hatriknya sebelum Diogo Dalot memastikan kemenangan agregat 5-2 buat United pada masa tambahan.

Sementara itu, Tottenham Hotspur berjaya bangkit untuk mengatasi defisit 1-0 ketika menentang AZ Alkmaar dengan kemenangan 3-1 hasil dua gol jaringan pemain muda Perancis, Wilson Odobert, yang merupakan gol pertamanya sejak menyertai kelab pada Ogos lalu.

Pada perlawanan berkenaan, Odobert membuka jaringan pada minit ke-26 selepas kesilapan pertahanan AZ, Wouter Goes. Spurs kemudian mendahului secara agregat sejurus selepas rehat apabila Son Heung-min mengumpan bola kepada James Maddison, yang menolak masuk bola ke penjuru gawang.

AZ kembali ke dalam permainan pada minit ke-63 apabila Peer Koopmeiners mengambil kesempatan daripada kesilapan pertahanan Spurs untuk merembat masuk menewaskan Guglielmo Vicario.

Bagaimanapun, Odobert sekali lagi menjadi wira apabila menjaringkan gol keduanya pada minit ke-74 untuk meredakan kebimbangan penyokong tuan rumah.

Spurs akan berdepan Eintracht Frankfurt di suku akhir selepas pasukan dari Jerman itu mencatat kemenangan agregat 6-2 ke atas Ajax Amsterdam, dengan Mario Götze menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-1 mereka di tempat sendiri.

Dalam lain-lain perlawanan, Kelab Perancis,Lyon tidak berdepan masalah untuk mara dengan kemenangan 4-0 ke atas Steaua Bucharest, dengan Ernest Nuamah dan Georges Mikautdze masing-masing menjaringkan dua gol.

Wakil Scotland, Rangers, yang menang 3-1 di tempat lawan, hampir tersingkir apabila Fenerbahce berjaya menyamakan agregat 3-3 dengan dua gol Sebastian Szymanski, memaksa perlawanan ke masa tambahan.

Penentuan penalti menyaksikan penjaga gol Rangers, Jack Butland, menjadi wira dengan menyelamatkan sepakan pembukaan Dusan Tadic. Sepakan ketiga Rangers oleh Ianis Hagi turut diselamatkan, tetapi Butland kemudian menggagalkan percubaan Fred sebelum Mert Hakan Yandas melepaskan sepakan tinggi melepasi palang, sekali gus menghantar Rangers ke suku akhir untuk bertemu Athletic Bilbao.

Kelab Sepanyol itu mara selepas menewaskan AS Roma 3-1, dengan Nico Williams menjaringkan dua gol di samping jaringan Yuri Berchiche.

Kelab Itali,Roma yang kehilangan Mats Hummels akibat kad merah awal, hanya mampu membalas menerusi penalti lewat oleh Leandro Paredes, tetapi Bilbao mara dengan agregat 4-3.

Dalam perkembangan sama, Lazio yang membawa kelebihan 2-1 dari perlawanan pertama menentang Viktoria Plzen, ketinggalan selepas Pavel Sulc menjaringkan gol awal babak kedua. Namun, Alessio Romagnoli menjaringkan gol penyamaan lewat untuk mengesahkan kemaraan Lazio dengan agregat 3-2 selepas seri 1-1.

Lazio akan bertemu kelab Norway, Bodo/Glimt, yang mara selepas tewas 2-1 di Olympiacos tetapi menang agregat 4-2.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD