(Aksi mendebarkan jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia ketika berdepan Loh Kean Yeaw dari Singapura dalam perlawanan suku akhir Kejohanan Terbuka Indonesia 2022/BERNAMA)
JAKARTA, 18 Jun- Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia akan menentang pilihan utama, Viktor Axelsen dalam saingan separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di di Stadium Istora Senayan di sini.
Dalam aksi suku akhir semalam, Juara Seluruh England 2021 itu mengetepikan pemain Singapura, Loh Kean Yew dalam permainan tiga set.
Zii Jia dipaksa bekerja keras dalam pertarungan selama 65 minit sebelum menang 21-18, 16-21, 22-20
“Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan, saya akan berikan yang terbaik esok (hari ini).
“(Dalam aksi ini) saya kena lawan, tiap kali bertemu dia (Kean Yew) pasti sengit lagi-lagi apabila saya rasa dia beraksi dengan baik dalam kejohanan ini, saya rasa dia mula dapat keyakinannya semula dan bermain dengan stabil,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, Axelsen mara ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting.
Pemain nombor satu dunia badminton itu juga dipaksa bermain dalam tiga set sebelum menang 21-13, 19-21 dan 21-9.
(Viktor Axelsen memberi reaksi selepas menang menentang Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia pada suku akhir perseorangan lelaki pada kejohanan badminton Terbuka Indonesia/AFP)
Axelsen berkata mengendalikan tekanan daripada Ginting dan penyokong tuan rumah adalah kunci kemenangannya.
“Saya benar-benar cuba fokus pada permainan saya hari ini (semalam) dan cuba bermain permainan yang betul,” kata Axelsen selepas perlawanan.
"Ginting bermain dengan baik hari ini. Dia bermain di tanah air sendiri jadi dia mempunyai seluruh stadium bersamanya tetapi ia adalah pengalaman yang hebat untuk saya," tambahnya. -AFP