fb fb fb fb fb

Persatuan Pedang Kerusi Roda dan Teqball Malaysia sah jadi ahli gabungan MPM

KUALA LUMPUR, 18 Jun- Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebulat suara meluluskan permohonan Persatuan Pedang Kerusi Roda dan Persatuan Teqball Malaysia untuk menjadi ahli gabungan badan induk itu.

Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

"Dalam masa sama, kedua-dua persatuan ini telah mengemukakan permohonan mereka dan pihak mesyuarat eksekutif telah meluluskan keahlian mereka dan Alhamdulillah kita sekarang di MPM mempunyai 27 ahli persatuan dalam gabungan," kata Megat kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung (AGM) yang diadakan di ibu negara.

Tambah beliau, AGM turut bersetuju meluluskan penubuhan Persatuan Para Renang Kebangsaan Malaysia.

"Sukan ini akan berada dibawah Federasi Antarabangsa iaitu Renang Paralimpik Dunia. Sukan Federasi Antarabangsa ini di pegang oleh pihak IPC sendiri dimana untuk makluman Persatuan Renang Malaysia dibawah FINA. FINA tidak menjaga atau tidak mengelola sukan para tapi hanya sukan normal," tambahnya.


(Atlet-atlet paralimpik negara sedang berlatih bagi mempersiapkan diri berdepan kejohanan mendatang)

Ujar beliau, MPM turut menerima permohonan tiga persatuan baru untuk menjadi ahli gabungan badan induk itu.

Sementara itu, mengulas lanjut persediaan Sukan Komanwel Birmingham 2022, MPM memutuskan untuk menghantar sembilan atlet dan lima pegawai melibatkan empat acara sukan.

Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo, Indonesia yang akan bermula pada 20 hingga 31 Julai ini, Malaysia akan mengambil bahagian dalam 14 sukan dan melibatkan 75 atlet.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kekal bertanding jawatan Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) untuk penggal akan datang.

Media Baharu