JAKARTA, 21 Ogos – Jika Datuk Abdul Latif Romly sudah mengharumkan nama negara di pentas Paralimpik, kini seorang lagi anak jati Perlis, Zaiman Megat Abu, 24, bersedia mengikut jejak itu apabila dipilih mewakili Malaysia di Sukan SEA Pekak 2025.
Atlet lompat kijang dan lompat jauh negara itu bukanlah asing dalam dunia olahraga pekak.
Berasal dari Pauh, Perlis dan anak kepada pasangan penoreh getah, kisah perjuangannya kini menjadi inspirasi selepas terpilih membawa Jalur Gemilang pada temasya kali ini.
Menariknya, Zaiman dibimbing jurulatih sama yang melahirkan Latif Romly, iaitu Sanusi Zainal Abidin, seorang guru Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah menengah di Perlis.
“Kalau Latif boleh berjaya di Paralimpik, saya mahu lihat Zaiman pula mencipta sejarah di Deflimpik. Itu jadi impian saya,” kata Sanusi ketika ditemui di Jakarta.
Sanusi Zainal Abidin
Bakat Zaiman mula dikesan sejak berusia 17 tahun. Walaupun berdepan kekangan komunikasi akibat masalah pendengaran, semangatnya tidak pernah luntur.
Menurut Sanusi, melatih atlet pekak bukan tugas mudah, namun disiplin luar biasa menjadikan Zaiman istimewa.
“Dia datang latihan awal, sanggup teruskan hingga malam kalau terlewat. Komitmennya memang 100 peratus,” jelasnya.
Bagi Zaiman, setiap lompatan bukan hanya mengejar pingat semata-mata. Sebagai anak kampung, kejayaan di pentas antarabangsa diharap mampu mengubah nasib keluarga yang hidup sederhana.
“Impian saya adalah pingat di Deflimpik, untuk negara dan juga keluarga,” katanya melalui jurubahasa isyarat.
Dengan reputasi sebagai pembawa Jalur Gemilang serta semangat membara, Zaiman kini menjadi antara sandaran utama kontinjen negara di Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta sebelum mengintai peluang lebih besar di Deflimpik, November ini.