fb fb fb fb fb

Tujuh negara ambil bahagian dalam Sukan SEA Pekak 2025

Sarkunan Balakrisnan

JAKARTA, 21 Ogos - Mesyuarat Ketua Kontinjen (CDM) bagi Sukan SEA Pekak 2025 mengesahkan tujuh negara akan mengambil bahagian pada kejohanan yang berlangsung di ibu kota Indonesia itu.

Antara negara yang terlibat menyertai edisi kedua kejohanan tersebut ialah Thailand, Filipina, Timor Leste, Brunei, Laos dan tuan rumah Indonesia.

Menurut Ketua Kontinjen Malaysia, Sarkunan Balakrisnan, mesyuarat turut membincangkan beberapa isu teknikal dan pengurusan acara melibatkan enam jenis sukan yang dipertandingkan.

"Mesyuarat hari ini menyentuh soal jadual perlawanan, pengangkutan, logistik, serta keselamatan atlet. Pihak penganjur memaklumkan anggota polis akan ditugaskan bagi menjaga keselamatan semua kontinjen," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam bersama kedutaan Malaysia ke Indonesia di sini.

Mesyuarat teknikal yang dijadualkan pada Khamis merupakan platform untuk menyelesaikan isu berkaitan acara termasuk futsal dan boling.

"Contohnya, boling dalam senarai ada enam orang atlet tetapi jadual hanya memaparkan empat. Jadi perkara ini akan diperhalusi," jelasnya.

Acara pembukaan Sukan SEA Pekak 2025 akan berlangsung di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Jakarta (UNJ), Rawamangun, Jakarta Timur.

2108 SKN SEA PEKAK KEDUTAAN1Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin

Dalam pada itu kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Pekak 2025 berpeluang bertemu dan diraikan dalam majlis makan malam bersama Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin di Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Pertemuan itu diadakan menjelang upacara pembukaan rasmi temasya pada Khamis, sekali gus memberi suntikan semangat kepada kontinjen yang hadir terdiri daripada 53 atlet dan 27 pegawai.

Datuk Syed Mohamad Hasrin menyatakan rasa bangga dengan kehadiran pasukan negara serta berharap agar mereka membawa pulang kejayaan.

“Lakukan yang terbaik, jagalah nama baik negara, dan buktikan bahawa Malaysia mampu sekali lagi berdiri megah sebagai juara,” katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI