HONG KONG, 21 Ogos – Al-Ahli mara ke final Piala Super Saudi selepas menumpaskan Al-Qadsiah 5-1 dalam aksi separuh akhir di sini pada Rabu.
Juara Asia itu dikejutkan seawal minit ke lapan apabila pertahanan Uruguay, Gaston Alvarez meledak gol pembukaan untuk Al-Qadsiah.
Namun, Al-Ahli pantas menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi bekas pemain tengah Barcelona dan Milan, Franck Kessie, hasil lontaran jauh.
Ivan Toney kemudian meletakkan Al-Ahli di hadapan pada minit ke-29 melalui sepakan penalti, sebelum pemain baharu, Enzo Millot, menambah gol ketiga, tiga minit selepas itu.
Al-Qadsiah semakin tertekan apabila Christopher Bonsu Baah dilayangkan kad merah kerana terjahan keras terhadap Roger Ibanez.
Kessie sekali lagi mencetak gol melalui sepakan sudut sebelum tamat separuh masa pertama, manakala gol kelima terhasil apabila bekas kapten Real Madrid, Nacho Fernandez, tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-61.
Dengan kemenangan bergaya itu, Al-Ahli bakal berdepan Al-Nassr yang dibarisi Cristiano Ronaldo dalam perlawanan akhir selepas kelab tersebut menewaskan juara Liga Pro Saudi, Al-Ittihad, 2-1 walaupun beraksi dengan 10 pemain susulan layangan kad merah kepada Sadio Mane pada Selasa.
Piala Super Saudi 2025 merupakan kali pertama diadakan di luar negara, dengan Hong Kong menjadi tuan rumah untuk semua tiga perlawanan termasuk aksi final pada Sabtu ini, selepas Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi menandatangani perjanjian penajaan bersama SUM KM Sport.- REUTERS