PETALING JAYA, 29 Ogos - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Datuk Mohd Yusoff Mahadi sah akan memangku jawatan Presiden persatuan tersebut sehingga Kongres Tahunan 2026, susulan peletakan jawatan Datuk Joehari Ayub baru-baru ini.
Mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Wisma FAM hari ini, Mohd Yusoff menjelaskan bahawa perlembagaan badan induk tersebut menetapkan timbalan presiden secara automatik akan mengambil alih tugas presiden sehingga pemilihan baharu dijalankan.
“Perkara ini jelas dalam perlembagaan, jadi saya akan jalankan tanggungjawab sehingga kongres pemilihan tahun depan,” katanya di sini.
Beliau turut menegaskan FAM menghormati keputusan Datuk Joehari untuk berundur, yang disifatkan sebagai keputusan peribadi selepas menilai keutamaan dan peranan masing-masing.
Datuk Mohd Yusoff, yang pernah memangku jawatan presiden FAM pada 2018, berkata fokus utama ketika ini adalah memastikan pentadbiran berjalan lancar, termasuk pengurusan liga tempatan dan kesinambungan perancangan pasukan kebangsaan.
Sementara itu, mengulas mengenai spekulasi calon yang bakal bertanding bagi penggal baharu, termasuk kemungkinan kehadiran bekas pemain bola sepak, beliau menjelaskan bahawa perkara itu hanya akan ditentukan melalui proses rasmi kongres pemilihan tahun hadapan.