fb fb fb fb fb

Kejohanan Badminton Dunia 2025: Tang Jie-Ee Wei tamatkan penantian 19 tahun Malaysia

Foto Facebook Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

PARIS, 29 Ogos - Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, menamatkan penantian 19 tahun Malaysia untuk meraih pingat dalam acara tersebut selepas mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Paris.

Beregu ranking ke-4 dunia itu menewaskan pasangan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, dengan kemenangan straight set 21-15, 21-13 dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Adidas Arena, sebentar tadi.

Kemenangan ini juga merupakan kali kedua berturut-turut selepas menundukkan lawan sama di Terbuka Indonesia pada Jun lalu.

Tang Jie-Ee Wei, yang sebelum ini sekadar mara sehingga suku akhir pada penampilan sulung di kejohanan dunia tahun lalu, kini bakal pulang sebagai pemenang pingat.

Kejayaan berkenaan juga mengakhiri penantian panjang negara selepas kali terakhir memenangi pingat gangsa menerusi pasangan Koo Kien Keat-Wong Pei Tty di Madrid pada 2006

Tang Jie-Ee Wei bakal berdepan cabaran getir di separuh akhir apabila dijadualkan menentang sama ada pasangan tuan rumah, Thom Gicquel-Delphine Delrue, atau gandingan China Chen Xing-Zhang Chi yang kini berada di kedudukan ke-12 dunia.

Sementara itu, hasrat untuk melihat satu lagi beregu campuran negara melangkah ke separuh akhir tidak kesampaian selepas pasangan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin kepada pasangan pilihan kedua dari China.

Pasangan No.16 dunia itu terpaksa akur tewas dalam aksi straight set 23-25, 15-21 kepada pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD