fb fb fb fb fb

MIJO 2025: 240 bintang muda berentap di Pasir Gudang

Foto Facebook Persatuan Golf Malaysia

PASIR GUDANG, 29 Ogos – Kejohanan golf junior berprestij di rantau Asia Pasifik, Malaysia International Junior Open (MIJO) 2025 membuka tirai dengan penuh meriah di Tanjung Puteri Golf Resort, Pasir Gudang.

Setiausaha Agung Persatuan Golf Malaysia (MGA), Datuk Zulkifli Ismail, ketika merasmikan kejohanan itu menegaskan penganjuran MIJO menjadi landasan penting dalam pembangunan bakat golf junior negara.

“MIJO 2025 adalah bukti kesungguhan MGA dalam membina ekosistem golf junior yang kompetitif dan mampan. Ia bukan sahaja medan melahirkan juara, malah membentuk disiplin, karakter dan semangat kesukanan tinggi dalam kalangan pemain muda,” katanya.

Kejohanan yang berlangsung dari 28 hingga 31 Ogos ini menghimpunkan 240 pemain dari 15 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Thailand, Vietnam, China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Australia, India, Hong Kong serta Amerika Syarikat, selain wakil pasukan PKNS dan SJDT.

Malaysia selaku tuan rumah mempertaruhkan 25 pemain elit di bawah program NJDP yang diketuai Pengerusi NJDP, Fauzi Mesran.

Majlis perasmian turut diserikan dengan perarakan penuh warna-warni oleh pemain dari setiap negara, sekali gus menggambarkan semangat persahabatan serantau di samping persaingan sihat di atas padang golf.

Dengan reputasi sebagai antara kejohanan paling berprestij dalam kalendar golf junior antarabangsa, MIJO 2025 diyakini akan terus menjadi platform penting mencungkil bakat baharu yang bakal mewarnai arena golf dunia.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD