PETALING JAYA, 29 Ogos – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan kem latihan skuad kebangsaan pada September ini bukan sekadar persediaan untuk aksi persahabatan, sebaliknya menjadi simulasi penting menjelang pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Oktober.
Skuad negara dijadual berdepan Singapura pada 4 September di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum bertemu Palestin pada 8 September di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
“Ini satu lagi peluang untuk kita meninggalkan kesan dalam bola sepak negara. Kami mahu terus membina identiti pasukan di dalam dan luar padang. Setiap kali kita bermain, matlamat utama adalah untuk membuat rakyat Malaysia berbangga,” katanya pada sidang media pengumuman senarai 29 pemain ke kem latihan pusat di Wisma FAM, hari ini.
Senarai kali ini menyaksikan beberapa muka baharu seperti Sergio Aguero, Suhaimi Husin dan Azam Azmi Murad. Turut mencuri perhatian ialah pemain Charlton Athletic, England, Richard Li Hua Chin yang dipanggil selepas dinilai mampu menambah pilihan di posisi sayap.
Sementara itu, Natxo Insa diketepikan berikutan masalah kecergasan namun dijangka kembali untuk aksi kelayakan pada Oktober.
Mengulas mengenai lawan, Cklamovski menjangkakan Singapura bakal memberikan tentangan sengit dengan corak permainan pantas, manakala Palestin yang kini berada dalam kelompok 100 terbaik dunia akan menguji kekuatan fizikal serta taktikal Harimau Malaya.