fb fb fb fb fb

Piala Asia Hoki 2025: Malaysia belasah Bangladesh 4-1

Malaysia bakal berdepan Korea Selatan esok / Foto BERNAMA

BIHAR, 29 Ogos – Skuad hoki lelaki kebangsaan membuka tirai kempen Kumpulan B Piala Asia 2025 dengan penuh bergaya apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan Bangladesh 4-1 di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, India, hari ini.

Pasukan Speedy Tigers terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pukulan sudut penalti oleh Ashraful Islam pada minit ke-16.

Tersentak dengan gol tersebut, Malaysia kembali memperkemaskan corak permainan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-25.

Skuad kendalian Sarjit Singh kemudian menambah dua lagi gol pada separuh masa kedua, masing-masing melalui Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-36 dan Muhajir Abdu Rauf pada minit ke-48

Kemenangan Malaysia disahkan enam minit sebelum tamat perlawanan selepas Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Selepas kemenangan sulung ini, Malaysia bakal berdepan Korea Selatan esok sebelum melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang Taiwan pada Isnin.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke saingan Super 4, manakala dua pasukan terbaik di peringkat itu akan berentap di pentas final pada 7 September. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN