PETALING JAYA, 29 Ogos - Peletakan jawatan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini merupakan keputusan peribadi, kata Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Beliau berkata tiada campur ‘tangan ghaib’ di sebalik keputusan Datuk Mohd Joehari melepaskan jawatan kerusi nombor satu badan induk yang memayungi bola sepak negara itu.
“Saya tidak tahu. Ini keputusan peribadi dia (Mohd Joehari)…kenapa dan bagaimana, apa semua itu saya tak boleh jawab.
“Apa yang mustahak, kita pihak exco (Jawatankuasa Eksekutif) ikut perlembagaan kita. Kita bawa dalam mesyuarat, semua setuju dan hormati keputusan dia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Rabu lepas, FAM dalam kenyataan mengesahkan Datuk Mohd Joehari telah menyatakan hasrat melepaskan jawatan presiden menerusi surat peletakan jawatan dihantar baru-baru ini.
Justeru, Jawatankuasa Eksekutif FAM dipanggil untuk mesyuarat khas kedua penggal 2025-2029 di Wisma FAM Kelana Jaya, dipengerusikan Datuk Mohd Yusoff selaku Timbalan Presiden bagi membincangkan perkara tersebut.
FAM pada masa sama juga memaklumkan Jawatankuasa Eksekutif telah bersetuju menamakan Datuk Mohd Yusoff sebagai Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta, selaras dengan peruntukan dalam Statut FAM.
Menurut Artikel 42 Perenggan 7 dalam Statut FAM, jika jawatan presiden kosong, timbalan presiden yang paling lama berkhidmat akan menggantikan hingga kongres seterusnya iaitu tahun hadapan.
Sebelum ini, Datuk Mohd Joehari memegang jawatan Naib Presiden dan merupakan Presiden FAM kelapan serta individu pertama dari Sabah yang menerajui badan induk bola sepak negara, menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Datuk Mohd Joehari dilantik menggantikan Tan Sri Hamidin selepas menang tanpa bertanding pada Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025–2029, Februari lepas.
Ditanya kemungkinan bekas pemain bola sepak kebangsaan Safee Sali atau bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menjadi Presiden FAM seterusnya seperti dilaporkan media sebelum ini, Datuk Mohd Yusoff berkata andaian tersebut hanya spekulasi dimainkan pihak luar.
“Ada lagi deretan nama akan keluar terutamanya ketika menjelang kongres. Jadi itu semua saya anggap spekulasi dan akhirnya keputusan masih di tangan ahli gabungan,” katanya. - BERNAMA