fb fb fb fb fb

Isu protes pasukan Israel: Menteri Belia Sepanyol kecam kenyataan Pengarah Vuelta

Perlumbaan peringkat kelima di Figueras, timur laut Sepanyol / Foto ARKIB RIT

MADRID, 29 Ogos – Menteri Belia Sepanyol, Sira Rego, mengecam kenyataan Pengarah Vuelta a Espana, Javier Guillen, yang menyifatkan protes terhadap penyertaan pasukan berbasikal Israel-Premier Tech sebagai “tindakan ganas” dan menggesa beliau untuk mempertimbangkan semula penyertaan pasukan itu.

Dalam sepucuk surat kepada Guillen, Rego menyifatkan kenyataan itu sebagai "tidak boleh diterima" kerana protes berkenaan dijalankan secara aman terhadap sebuah pasukan yang disokong oleh sebuah negara yang melakukan "keganasan sistematik" ke atas Gaza.

Beliau turut menekankan amaran antarabangsa berhubung kebuluran serta kesan kemanusiaan yang serius terhadap kanak-kanak.

"Itu sebenarnya merupakan tindakan keganasan yang paling kejam dan paling menakutkan, dengan akibat yang tidak dapat dipulihkan bagi seluruh masyarakat. Pendek kata, pembunuhan beramai-ramai," tulis Rego, turut menyiarkan surat itu di media sosial.

Protes tersebut berlaku pada Rabu, ketika perlumbaan peringkat kelima di Figueras, timur laut Sepanyol.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan tiga individu memegang sepanduk bertulis “Neutrality is complicity. Boycott Israel” sebelum mereka dikeluarkan oleh pegawai perlumbaan.

Beberapa pelumba dilihat memperlahankan kayuhan, namun tiada insiden kemalangan dilaporkan.

Guillen sebelum ini berkata pihak penganjur akan membuat laporan polis, menyifatkan protes itu sebagai “tindakan ganas”.

Pasukan Israel-Premier Tech turut berdepan bantahan serupa dalam Tour de France sebelum ini.

Rego, yang berketurunan Palestin melalui sebelah bapanya dan pernah membesar di Tebing Barat, menggesa Guillen menilai semula sama ada penyertaan pasukan itu selari dengan nilai yang dipegang oleh Vuelta.

Konflik Palestin-Israel sejak 7 Oktober 2023 mengorbankan sekurang-kurangnya 62,895 nyawa di Gaza, majoritinya orang awam,

Vuelta a Espana, inspirasi oleh Tour de France merupakan salah satu daripada tiga perlumbaan berbasikal peringkat dunia selain Tour de France dan Giro d’Italia. - AFP

HASRON BIN HASSAN