SYDNEY, 29 Ogos – Juara Maraton Olimpik, Sifan Hassan, membuat keputusan mengejut apabila tidak akan menyertai Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo bulan depan, sebaliknya memilih untuk beraksi di Maraton Sydney pada Ahad ini.
Maraton Sydney yang julung kali disenaraikan dalam siri elit World Marathon Majors bakal menjadi pentas bersejarah, menyertai senarai maraton utama dunia seperti London, New York dan Boston.
Sifan Hassan, 32 tahun yang berasal dari Ethiopia tetapi kini mewakili Belanda, berkata jarak masa yang singkat antara kedua-dua kejohanan menjadi punca beliau menarik diri daripada Kejohanan Dunia.
“Dalam dua atau tiga minggu pun saya tidak pasti mampu pulih sepenuhnya. Beberapa hari pertama selepas maraton, saya hampir tidak boleh berjalan.
“Ia keputusan sukar kerana saya tidak pernah terlepas Kejohanan Dunia sejak 2015. Namun, saya mahu berada di Sydney kerana ini maraton utama pertama di Australia. Siapa yang tidak mahu menjadi sebahagian daripada sejarah itu?” katanya.
Kejohanan Dunia dijadual berlangsung dari 13 hingga 21 September di Tokyo. Sifan Hassan mempunyai kenangan manis di Jepun selepas meraih dua pingat emas (5,000m dan 10,000m) serta gangsa 1,500m di Olimpik Tokyo 2021.
Sebagai pilihan utama perlumbaan wanita, Sifan Hassan dijangka mendapat tentangan sengit daripada juara bertahan Workenesh Edesa Gurmesa dari Ethiopia, selain bintang Kenya, Brigid Kosgei, pemenang lima kali World Marathon Majors.
Sementara itu, perhatian dalam kategori lelaki pastinya tertumpu kepada legenda Kenya, Eliud Kipchoge, juara Olimpik dua kali dan pemegang rekod dunia. - AFP