fb fb fb fb fb

Sze Fei–Izzuddin Tersingkir, Wei Chong–Kai Wun Mara ke Suku Akhir

Tersingkir pada pusingan ketiga kempen Kejohanan Dunia 2025

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani, menamatkan kempen Kejohanan Dunia 2025 dengan kekecewaan selepas tersingkir pada pusingan ketiga, Khamis lalu.

Pasangan pilihan ketiga itu berhempas pulas hingga ke set penentuan sebelum tewas 20-22, 21-15, 21-23 kepada gandingan pilihan ke-16 dari Taiwan, Lee Jhe-Huei–Yang Po-Hsuan, dalam aksi sengit selama 50 minit di Adidas Arena.

Kemenangan itu membolehkan Jhe-Huei–Po-Hsuan mara ke suku akhir untuk bertemu beregu China, Chen Bo Yang–Liu Yi, yang menyingkirkan pasangan Denmark, Rasmus Kjaer–Frederik Sogaard, 21-17, 22-20.

Sementara itu, beregu negara Man Wei Chong–Tee Kai Wun, yang juga pilihan ketujuh, berjaya menepati ramalan apabila mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan England, Ben Lane–Sean Vendy, dengan keputusan 21-18, 21-18.

Mereka bagaimanapun bakal berdepan cabaran getir apabila dijadual bertemu pilihan utama kejohanan yang juga beregu nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae.

Pasangan Korea itu mara selepas bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menundukkan beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando–Bagas Maulana, 17-21, 21-9, 21-4.

Selain Wei Chong–Kai Wun, Malaysia turut mempunyai wakil lain di suku akhir menerusi bekas juara dunia 2022, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, beregu wanita Pearly Tan–M. Thinaah, serta dua beregu campuran, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron–Cheng Su Yin. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN