PARIS, 29 Ogos - Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke pusingan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025 selepas menewaskan rakan senegara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.
Bekas juara dunia 2022 itu bagaimanapun berdepan tentangan sengit apabila terpaksa beraksi dalam tiga set perlawanan selepas tewas 18-21 pada set pertama.
Pasangan pilihan kedua kejohanan berkenaan bagaimanapun bangkit pada set kedua 21-18 untuk membawa perlawanan ke set penentuan yang berakhir dengan kemenangan 26-24.
Pada perlawanan suku akhir esok, mereka bakal bertemu sama ada beregu pilihan kesembilan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, atau pilihan keenam dan pemenang pingat perak Paris 2024 dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Sementara itu, pasangan beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah tidak menghadapi masalah besar untuk mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Indonesia, Lanny Tria Mayangsari-Siti Fadia Silva Ramadhanti, 21-12, 21-11 dalam masa hanya 29 minit.
Juara Terbuka Thailand 2025 itu dijadual menentang pasangan adik-beradik Stoeva Gabriela dan Stefani dari Bulgaria atau pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.