MUNICH, 10 Julai- Jurulatih Sepanyol Luis de la Fuente berkata melihat persembahan pemain sayap berusia 16 tahun, Lamine Yamal menentang Perancis seperti menonton "seorang genius".
Yamal menjaringkan gol cemerlang untuk menyamakan gol pembukaan Randal Kolo Muani untuk Les Bleus, dengan Dani Olmo kemudiannya menjaringkan gol kemenangan untuk Sepanyol.
Dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, Yamal melakar sejarah menjadi penjaring gol lelaki termuda Euro.
"Kami telah melihat seorang genius, produk seorang genius," kata De la Fuente kepada pemberita.
“Dia pemain yang perlu kami jaga, saya perlu memberi nasihat kepadanya untuk terus bekerja dengan sentiasa rendah diri.
“Dia akan terus 'menyinar' tetapi kematangan dan sikap ini pada usia muda adalah seperti pemain yang lebih berpengalaman.
"Kami bernasib baik dia orang Sepanyol dan kami boleh menikmatinya untuk beberapa tahun lagi."
Yamal menjadi pemain termuda dalam pertandingan itu dalam perlawanan pertama Sepanyol menentang Croatia dan turut memberikan tiga bantuan semasa pasukannya mara ke final.
Sepanyol akan menentang England atau Belanda dalam perlawanan akhir di Berlin pada 14 Julai, sehari selepas ulang tahun ke-17 Yamal.