BRASILIA, 10 Julai-Penyerang Brazil, Vinicius Jr memohon maaf kepada penyokong negara itu pada Selasa selepas dia terlepas aksi suku akhir Copa America kerana penggantungan.
Namun, dia menegaskan bahawa juara sembilan kali itu akan kembali kepada zaman kegemilangan mereka terdahulu.
Pemain sayap Real Madrid berusia 23 tahun digantung selepas mengumpulkan dua kad kuning dan hanya menjadi penonton di bangku simpanan selepas menyaksikan Brazil tewas kepada Uruguay 4-2 pada penentuan penalti selepas seri 0-0 Sabtu lalu.
Brazil dilihat gagal menyerlah pada pertandingan kali ini selepas sekadar menyaksikan seri dua kali pada peringkat kumpulan dan menang sekali ketika menentang Paraguay.
Ini merupakan kekalahan kedua di peringkat suku akhir selepas tewas kepada Croatia pada Piala Dunia 2022 di Qatar.
"Pertandingan Copa Amerika telah berakhir dan ini adalah masa untuk bertenang dan menerima hakikat kekalahan", tulis Vincius di instagramnya.
"Kekecewaan berterusan kembali.Tewas pada sepakan penalti.Saya gagal mengelakkan diri daripada mengutip dua kad kuning.ia adalah salah saya. Saya memohon maaf untuk itu", katanya.
"Karier saya bersama skuad kebangsaan baru sahaja bermula.Bersama rakan sepasukan yang lain saya berpeluang meletakkan kembali Brazil di landasan kejayaan seperti dahulu.
"Percayalah, kita akan kembali menjadi pasukan yang digeruni seperti dahulu", tambah Vincius.
Vincius menikmati musim cemerlang bersama Real Madrid musim ini dan menjaringkan lima gol pada 34 penampilan bersama Brazil setakat ini.-REUTERS