fb fb fb fb fb

Yamaguchi raih gelaran dunia kali ketiga

Akane Yamaguchi selepas menewaskan Chen Yufei di pentas akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris.

PARIS, 1 September - Pemain perseorangan Jepun, Akane Yamaguchi, muncul juara dunia buat kali ketiga manakala jaguh China, Shi Yuqi, meraih kejuaraan sulung selepas menjuarai acara perseorangan wanita dan lelaki di Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris.

Shi, pilihan utama berusia 29 tahun, menewaskan juara bertahan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand 19-21, 21-10, 21-18 dalam perlawanan mendebarkan yang berlangsung satu jam 17 minit.

Yamaguchi, 28, menundukkan pemain China, Chen Yufei, 21-9, 21-13 dalam masa 37 minit untuk menyertai Carolina Marin dari Sepanyol sebagai pemain wanita kedua yang memenangi tiga gelaran dunia perseorangan. Chen yang mengalami kecederaan buku lali sebelum ini, menambah satu lagi pingat perak selepas meraih tiga gangsa dalam edisi lalu.

Dalam acara beregu lelaki, gandingan Korea Selatan Kim Won-ho/Seo Seung-jae menewaskan pasangan China, Chen Boyang-Liu Yi, 21-17, 21-12.

Bagi beregu wanita, pasangan China Liu Shengshu-Tan Ning mengatasi wakil Malaysia, Pearly Tan-M.Thinaah, 21-14, 20-22, 21-17. Aksi mereka mencuri tumpuan apabila kedua-duanya melakukan pukulan belakang badan berturut-turut dalam satu rali yang memikat penonton.

Malaysia turut cemerlang dalam acara beregu campuran apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menewaskan Jiang Zhenbang-Wei Yaxin dari China 21-15, 21-14, sekali gus menghadiahkan pingat emas untuk negara.

TUN JULIA MOHD TAHIR