fb fb fb fb fb

Hadiah merdeka: Rakyat Malaysia raikan kemenangan Tang Jie-Ee Wei di media sosial

Antara ucapan tahniah dari rakyat Malaysia di media sosial di atas kejayaan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2025/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Kemenangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dalam Kejohanan Badminton Dunia 2025 mencetuskan gelombang kegembiraan rakyat Malaysia di media sosial, yang menyifatkan kejayaan itu sebagai “hadiah paling manis” sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Sejurus tamat perlawanan, pelbagai platform media sosial dibanjiri ucapan tahniah, rasa bangga dan luahan syukur daripada rakyat Malaysia yang mengikuti detik bersejarah itu secara langsung.

Tanda pagar seperti #HadiahMerdeka, #ChenToh, dan #MalaysiaBoleh menjadi tular, dengan ribuan hantaran menyatakan kebanggaan terhadap pencapaian pasangan beregu negara itu.

Seorang pengguna Facebook menulis:

“Satu rumah berdiri tegak sama-sama nyanyi lagu Negaraku. Terima kasih Chen Toh."

Seorang lagi pengguna berkongsi:

“Negaraku berkumandang di bumi Paris di Hari Kemerdekaan Negara yang ke 68. Terima kasih Chen Tang Jie & Toh Ee Wei. Anda berdua luar biasa. Juara dunia”

Reaksi reaksi ini mencerminkan betapa mendalamnya semangat kesukanan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Rata-rata warganet menyatakan bahawa kemenangan ini bukan sekadar kejayaan dalam sukan, tetapi simbol penyatuan dan semangat cintakan tanah air, apatah lagi diraikan tepat pada malam 31 Ogos, tarikh keramat sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Dalam suasana negara menyambut ulang tahun kemerdekaan, kemenangan Tang Jie-Ee Wei nyata memberi makna yang lebih besar, bukan sahaja di gelanggang, tetapi di hati jutaan rakyat Malaysia yang bersatu dalam rasa bangga dan syukur.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN