fb fb fb fb fb

YAKEB Hulur bantuan lebih RM270,000 bantu ahli

(FOTO RTM)

ALOR SETAR, 16 Julai - Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) akan terus memantau keperluan, kebajikan dan tahap kesihatan bekas atlet negara dari semasa ke semasa, sekali gus menyalurkan bantuan bersesuaian untuk mereka.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata YAKEB sentiasa mengutamakan dan menitik berat kebajikan ahli khususnya atlet dan ahli keluarga mereka yang berada di bawah yayasan
melalui 12 skim bantuan ditawarkan.

Datuk Noorul Ariffin ditemui selepas menyampaikan sumbangan Khairat Kematian kepada balu Raja Libas negara, Allahyarham Adnan Saidin di sini.

Pada pertemuan itu juga, YAKEB turut menyampaikan bantuan kepada atlet renang paralimpik Kedah Ahmad Helmi Mohd Rody yang kini hilang punca pendapatan setelah diserang strok

"Bantuan Khairat bantuan untuk bekas atlet ialah RM3,000. Bantuan untuk saudara Helmi kita beri dalam RM500.

"Kita ada susulan jagaan perubatan dan pekerjaan bagi beliau (Helmi) meneruskan hidupnya", katanya.

Turut hadir memberi sokongan pada majlis sumbangan tersebut bekas bekas atlet dari Kedah.

Antaranya bekas atlet olahraga Sajarutuldur Hamzah , Malik Samsudin dan Zamziri Abu Bakar kedua-duanya bekas atlet takraw dan Zainon Osman, atlet berbasikal.

Sementara itu balu Adnan, Suraya Abdullah berkata keluarganya berterima kasih terhadap keprihatinan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) khususnya YAKEB yang turun padang bertanya khabar dan memberi bantuan kepada keluarga bekas atlet.

YAKEB telah menyalurkan bantuan melalui pelbagai skim khas dianggarkan lebih RM270,000  bagi membantu seramai 332 orang dalam tempoh enambulan pertama tahun ini.

Sebanyak RM28,000 bantuan diperuntukkan membabitkan khairat kematian.


(Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed)

Media Baharu