MANCHESTER, 10 Mei- Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengesahkan bahawa Erling Haaland kembali cergas dan berkemungkinan besar diturunkan dalam aksi menentang Southampton hujung minggu ini,
Keputusan itu dibuat selepas Haaland yang direhatkan hampir enam minggu, dilaporkan telah pulih daripada kecederaan buku lali.
Penyerang yang berasal dari Norway itu mencatatkan 21 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini, di tangga ketiga dalam carta penjaring terbanyak di belakang Mohamed Salah (28) dan Alexander Isak (23).
"Dia bersedia dan cergas. Sama ada dia akan bermula atau tidak, kami akan tentukan pada hari Sabtu," kata Guardiola dalam sidang media.
Bagaimanapun, pemain tengah utama City, Rodri masih belum pulih manakala Oscar Bobb dan Nathan Ake baru sahaja kembali menjalani latihan tetapi masih belum bersedia diturunkan.
Manchester City kini di tangga ketiga liga dengan baki tiga perlawanan, tiga mata di belakang Arsenal dan satu mata mengatasi Newcastle United.
Southampton pula menghuni tangga tercorot dengan hanya 11 mata dan dua kemenangan sepanjang musim ini.
Meskipun telah tersingkir, Guardiola tidak memandang rendah cabaran kelab dari selatan England itu.
“Mereka tiada apa untuk hilang. Kita perlu kekal fokus kerana kedudukan ke Liga Juara-Juara masih terbuka,” katanya, sambil menambah pasukan kini dalam prestasi terbaik selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut.
City juga masih berpeluang menamatkan musim di tangga kedua serta menjulang Piala FA, namun Guardiola menegaskan fokusnya adalah satu perlawanan pada satu masa.- REUTERS