fb fb fb fb fb

Hannah Yeoh harap kes Faisal Halim dapat diteruskan

Simbah asid jenayah berat

KUALA LUMPUR, 9 Mei - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap siasatan kes simbahan asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Faisal Abdul Halim, akan diteruskan meski kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai "tiada tindakan lanjut" (NFA).

Beliau menyifatkan serangan terhadap tonggak Selangor FC itu sebagai jenayah berat dan perlu keadilan sewajarnya.

"Beliau merupakan aset negara, pemain kebangsaan, pasukan kebangsaan. Jadi saya berharap siasatan pihak polis tidak berhenti. Saya ada baca kenyataan polis. Mereka kata NFA tak bermaksud siasatan dihentikan. Jadi saya lega kerana siasatan masih diteruskan dan saya berharap mereka akan mengerahkan lebih banyak lagi tenaga untuk mencari pihak yang bertanggungjawab," ujarnya dalam sidang media Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025 di Ibu negara.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata status NFA merujuk kepada tangkapan tiga individu serta beberapa petunjuk termasuk rakaman CCTV dan lakaran wajah yang diedarkan sebelum ini, tidak mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Tiga individu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan selepas siasatan mendapati suspek sebenar menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

Manakala hasil analisis forensik terhadap telefon suspek tidak menunjukkan sebarang bukti penglibatan dalam kejadian berkenaan.

Rakaman CCTV serta lakaran wajah yang diperoleh setakat ini juga tidak dapat mengenal pasti pelaku sebenar.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN