KUALA LUMPUR, 9 Mei – Penganjuran liga ragbi peringkat negeri yang sedang berlangsung di beberapa negeri ketika ini disifatkan sebagai satu langkah bijak dalam usaha mencungkil bakat tempatan dan menghidupkan kembali semangat sukan ragbi di Malaysia pasca kekalahan Malaysia kepada Sri Lanka yang menyaksikan skuad negara tersingkir ke Divisyen 1.
Menurut, Pensyarah Kanan, Fakulti Sukan & Eksesais Sains, Universiti Malaya (UM), Dr. Nasnoor Juzaily Mohd Nasiruddin, ia medan terbaik untuk para pemain tempatan mempersembahkan prestasi dan kebolehan mereka secara lebih tersusun dan kompetitif.
“Liga negeri ini sepatutnya menjadi wadah utama untuk pemain-pemain tempatan menunjukkan bakat mereka. Ia juga perlu dijadikan sebagai pusat tumpuan jurulatih, penilai, dan barisan pemilih dalam mengenal pasti pemain yang layak mewakili negara,” katanya
Dalam pada itu, isu penggantungan selama dua tahun terhadap pemain dilihat terlalu keras dan tidak mengambil kira kebajikan pemain secara menyeluruh.
Beliau mencadangkan agar hukuman itu dikaji semula dan diringankan kepada hanya enam bulan, demi memastikan pembangunan bakat tidak terhenti secara drastik.
“Sebagai bekas pemain yang pernah digantung selama lapan bulan, saya amat memahami betapa besar impaknya. Ada pemain yang bergantung kepada ragbi sebagai punca pendapatan atau sekurang-kurangnya sebagai minat dan sumber motivasi diri. Penggantungan selama dua tahun boleh menjauhkan mereka terus daripada sukan ini,” jelasnya.
Sementara itu, Dr. Nasroon mencadangkan agar satu prosedur tetap diwujudkan agar pemain yang ingin bermain dengan pasukan selain negeri asal boleh berbuat demikian secara sah dan tersusun.
“Sekiranya pemain merasakan mereka lebih selesa dan dapat berkembang dengan pasukan negeri lain, mereka harus dibenarkan, dengan syarat mendapat pelepasan rasmi daripada kesatuan negeri asal. Bakat boleh digilap dengan cara berbeza, bergantung kepada keupayaan dan sistem latihan negeri masing-masing,” ujarnya lagi.
Tambahnya, sistem yang lebih fleksibel dan mesra pemain akan meningkatkan kualiti permainan, malah memberikan kelebihan strategik kepada pasukan negeri dan seterusnya kepada pasukan kebangsaan.
“Kita mahu melihat pemain kita menyerlah bukan sahaja di peringkat domestik, tetapi juga antarabangsa. Untuk itu, pendekatan inklusif, progresif dan prihatin terhadap kebajikan pemain amat diperlukan,” katanya ketika diminta memberi respon terhadap isu penggantungan pemain oleh Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) baru-baru ini.