SHAH ALAM, 7 Mei – Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) mengesahkan penggantungan selama dua tahun terhadap beberapa pemain yang enggan menyertai skuad Piala Agong Negeri Selangor 2024, tetapi mewakili pasukan negeri lain dalam kejohanan sama.
Dalam satu kenyataan Setiausaha Kehormatnya, T.J. Tan menyatakan, penggantungan itu dipersetujui secara sebulat suara dalam Mesyuarat Pengurus Pasukan, sebagai langkah menjaga integriti dan komitmen terhadap pembangunan pasukan negeri.
Tegas KRS, mereka sudah mengemukakan nama pemain kepada Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), dan hanya pemain yang tidak tersenarai dalam skuad Selangor dibenarkan bermain untuk negeri lain.
Namun ketika Piala Agong berlangsung, beberapa pemain yang tidak memberi sebarang maklum balas dan mengalami kecederaan, dikesan mewakili negeri lain.
Susulan itu, pemain-pemain terlibat tidak dibenarkan beraksi dalam Liga MSNS-KRS 2025, serta dilarang menyertai mana-mana kelab atau negeri dalam semua kejohanan kebangsaan hingga akhir 2026.
Dalam pada itu, KRS turut menzahirkan kebimbangan terhadap isu pembelian pemain oleh negeri yang tidak menganjurkan liga mahupun memiliki program pembangunan ragbi tersendiri.
KRS menegaskan hanya pemain yang berasal, bermastautin, atau aktif bermain dalam liga negeri, boleh mewakili negeri tersebut.