fb fb fb fb fb

Pakistan tarik diri daripada Kejohanan Piala Asia Sepak Takraw ASTAF 2025

India ancam serang lapangan terbang/ASTAF

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Pasukan Pakistan menarik diri saat akhir daripada Kejohanan Piala Asia Sepak Takraw ASTAF 2025, susulan ancaman serangan tentera India yang menyebabkan lapangan terbang antarabangsa di Islamabad ditutup.

Dalam satu kenyataan oleh Presiden Asian Sepak takraw Federation (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader, perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Pakistan, Noushad Ahmed Khan.

Enam pemain, bersama jurulatih dan pengurus pasukan Pakistan dijadualkan terbang ke Kuala Lumpur malam tadi, namun terpaksa membatalkan penyertaan.

Jawatankuasa Pengelola menerima keputusan itu sebagai kes 'force majeure', namun mengikut peraturan ASTAF, semua perlawanan melibatkan Pakistan akan dikira kalah secara walkover, 2-0.

Pakistan sebelum ini diundi dalam Kumpulan A acara kuadran bersama Vietnam, Singapura dan Korea Selatan dan Kumpulan C regu bersama Vietnam, China dan Jepun.

Piala Asia ASTAF 2025 akan berlangsung di Stadium Titiwangsa bermula esok hingga 18 Mei ini.

India yang turut terlibat dalam konflik serantau dilapor tiba lebih awal dan akan bertanding dalam semua kategori termasuk regu dan beregu.

Sebelum ini, Myanmar juga menarik diri atas sebab bencana alam, menjadikan dua negara sah tidak bertanding dalam edisi kali ini.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN