NEW DELHI, May 9 - Liga Kriket Perdana India (IPL) 2025 turut mendapat tempias susulan ketegangan yang kini berlaku di sempadan India-Pakistan.
Lembaga Kriket India (BCCI) dalam satu kenyataan mengumumkan penggantungan, kesemua perlawanan berkuatkuasa hari ini, 9 Mei 2025 sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
Tambah kenyataan, keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan pemain dan kakitangan di tengah-tengah konflik yang kian meningkat.
Penggantungan IPL 2025 menjadi gangguan terbesar kepada salah satu kejohanan kriket yang paling banyak ditonton di dunia, seterusnya menyebabkan para peminat dan pihak berkepentingan tertanya-tanya tentang masa depan liga tersebut musim ini.
Krisis antara India dan Pakistan bermula pada akhir April lalu, menyaksikan beberapa peningkatan operasi ketenteraan termasuk serangan peluru berpandu.
Konflik turut menimbulkan kebimbangan antarabangsa dengan usaha diplomatik sedang dijalankan untuk meredakan ketegangan.