ROM, 10 Mei- Pemain nombor dua dunia, Alexander Zverev memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Terbuka Itali dengan kemenangan bergaya ke atas pemain Argentina, Camilo Ugo Carabelli 6-2, 6-1 dalam aksi pusingan kedua, pada Jumaat.
Finalis Grand Slam sebanyak tiga kali itu memanfaatkan 60 peratus peluang 'break point' (6/10) untuk menempah slot pusingan ketiga menentang Vilius Gaubas dari Lithuania.
Pilihan kelima, Jack Draper turut mencatat kemenangan selesa, menewaskan wakil tuan rumah, Luciano Darderi 6-1, 6-4.
Pemain Britain berusia 23 tahun itu hanya memerlukan empat daripada lima peluang 'break point' sambil menyelamatkan kesemua tujuh 'break point' ke atas servisnya.
Sementara itu, dua wakil Itali, Lorenzo Musetti dan Francesco Passaro memberikan kegembiraan kepada penyokong tempatan.
Musetti, pilihan kesembilan, mudah menundukkan Otto Virtanen dari Finland 6-3, 6-2 manakala Passaro mencipta kejutan terbesar hari itu dengan menyingkirkan pilihan ke-14, Grigor Dimitrov 7-5, 6-3.
Dua lagi pilihan utama, Holger Rune (pilihan ke-9) dan Arthur Fils (ke-13) turut layak ke pusingan ketiga.
Rune terpaksa bekerja keras dalam perlawanan selama tiga jam sebelum menewaskan Francisco Comesana dari Argentina 3-6, 6-3, 6-4, sementara Fils mudah menundukkan pemain Belanda, Tallon Griekspoor 6-2, 6-2.
Sementara itu, pemain wanita nombor tujuh dunia, Mirra Andreeva meneruskan kecemerlangan apabila menewaskan pemain Colombia, Emilian Arango 6-2, 6-4 untuk mara ke pusingan ketiga kejohanan Terbuka Itali, pada Jumaat.
Pemain muda dari Rusia itu kini memburu kejuaraan ketiganya selepas berjaya merangkul dua gelaran Masters 1000 musim ini iaitu di Dubai dan Indian Wells.
Andreeva mempamerkan ketenangan meski servisnya gagal dua kali di permulaan set kedua dan hanya mengambil masa 90 minit untuk melengkapkan kemenangan.
Pemain berusia 18 tahun itu bakal berdepan cabaran lawan dari Republik Czech, Linda Noskova dalam pusingan seterusnya.
Sementara itu, juara Olimpik, Zheng Qinwen turut mara selepas menewaskan pemain Serbia, Olga Danilovic 6-1, 6-4.
Pemain pilihan kelapan dari China itu mendominasi servis pertamanya dengan memenangi 76 peratus (25 daripada 33) mata.
Zheng dijadualkan menentang pemain Poland, Magdalena Frech pada pusingan ketiga.- REUTERS