fb fb fb fb fb

Piala Dunia Wanita akan disertai 48 pasukan, menjelang 2031 - FIFA

Foto Reuters

ZURICH, 10 Mei- Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan Piala Dunia Wanita akan diperluaskan kepada 48 pasukan bermula edisi 2031.

Menurut Presiden FIFA, Gianni Infantino dalam satu kenyataan ia sejajar dengan pertumbuhan pesat sukan bola sepak wanita di peringkat global.

Keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat maya Majlis FIFA pada Jumaat, yang turut meluluskan format baharu kejohanan iaitu 12 kumpulan, menjadikan jumlah keseluruhan perlawanan meningkat daripada 64 kepada 104, sama seperti format Piala Dunia Lelaki 2026.

Tempoh kejohanan juga akan dilanjutkan selama seminggu.

Edisi 2027 yang akan berlangsung di Brazil kekal dengan format 32 pasukan seperti kali pertama dilaksanakan pada edisi 2023 di Australia dan New Zealand, berbanding hanya 24 pasukan pada edisi 2019 di Perancis.

"Ini bukan hanya soal menambah 16 pasukan lagi ke dalam kejohanan tetapi juga langkah strategik memperkukuh struktur bola sepak wanita secara menyeluruh.

Pengembangan ini akan memberi lebih banyak peluang kepada persatuan ahli FIFA membangunkan struktur bola sepak wanita di negara masing-masing," kata Infantino dalam kenyataan.

Piala Dunia Lelaki 2026 yang bakal dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico juga merupakan yang pertama menampilkan 48 pasukan.

AS kini dijangka menjadi tuan rumah Piala Dunia Wanita 2031, setelah menjadi satu-satunya negara yang mengemukakan bidaan rasmi.

Negara itu pernah menjadi tuan rumah kejohanan tersebut pada tahun 1999 dan 2003.

Kesatuan pemain antarabangsa (FIFPRO) menyambut baik keputusan pengembangan tersebut sebagai bukti jelas pertumbuhan dan populariti bola sepak wanita di peringkat antarabangsa.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM