KUALA LUMPUR, 16 Julai- Arena sukan tanah air menerima perkhabaran duka susulan pemergian legenda olahraga negara, Hanapiah Nasir, akibat leukemia dan kegagalan pelbagai organ di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Perkhabaran pemergian Hanapiah, 65, itu disahkan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang memaklumkan arwah menghembuskan nafas terakhir pada jam 6 petang tadi.
“Semalam arwah dibawa ke hospital oleh anak perempuannya sekitar jam 4 petang dan ditahan di wad selepas mengalami tekanan darah rendah sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Arwah memang pernah sakit leukemia sekitar tiga tahun lepas dan hampir sembuh selepas menjalani rawatan. Namun, penyakit itu kembali menyerang dan menyebabkan kegagalan organ dalaman,” katanya ketika dihubungi hari ini.
(Legenda olahraga negara, Hanapiah Nasir)
Jenazah bekas jaguh dekatlon kebangsaan era 80-an itu akan dibawa ke Masjid Kampung Baru dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, jam 9 pagi esok.
Noorul, yang kali terakhir melawat Allahyarham tahun lepas untuk memberikan sumbangan, amat sedih atas pemergian Hanapiah dan menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar kepada sukan tanah air.
Allahyarham sebelum ini banyak menyumbang kepada arena olahraga negara apabila berjaya merangkul empat emas pada temasya Sukan SEA, menerusi acara lompat jauh (1985), 110 meter (m) lari berpagar (1985) dan dekathlon (1981 dan 1983).
Allahyarham turut berjaya menyumbang pingat perak dalam acara 4x100m bersama Rabuan Pit, Sivaling Govindasamy dan Nordin Jadi pada 1985, selain meraih gangsa dalam acara 110m lari berpagar (1983) dan dekathlon pada 1991.
Arwah terus bergiat dalam arena olahraga selepas bersara dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih negara dari 2005 hingga ke 2009.- BERNAMA