fb fb fb fb fb

Final Euro Wanita 2025: England sedia pertahan kejuaraan bertemu Sepanyol

Foto REUTERS

ZURICH, 26 Julai – Skuad bola sepak wanita England kini bersiap sedia untuk perlawanan akhir Kejohanan EURO Wanita 2025 menentang juara dunia, Sepanyol, yang akan berlangsung di Stadium St. Jakob-Park, Basel, Switzerland, esok.

England yang juga juara bertahan, menjalani sesi latihan di Zurich hari ini dengan kehadiran penyerang utama, Lauren James yang kembali berlatih selepas mengalami kecederaan buku lali dalam aksi separuh akhir menentang Itali. Kehadiran pemain muda itu meningkatkan semangat pasukan menjelang pertembungan getir esok.

Pertemuan ini bakal menjadi ulangan kepada final Piala Dunia Wanita FIFA 2023 yang menyaksikan Sepanyol muncul juara dunia buat kali pertama.

Statistik pertemuan sebelum ini menunjukkan persaingan seimbang apabila enam daripada tujuh perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan ditentukan dengan satu gol, manakala satu lagi berakhir tanpa jaringan.

Ketua jurulatih England, Sarina Wiegman, mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi jurulatih pertama bagi lelaki atau wanita yang berjaya membawa pasukan ke lima final kejohanan utama berturut-turut. Dua daripadanya bersama skuad Belanda sebelum beliau mengambil alih England pada tahun 2021.

Dalam pada itu, pemain pertahanan England, Lucy Bronze, dijangka memecahkan rekod penampilan terbanyak di kejohanan utama oleh mana-mana pemain England (lelaki atau wanita) apabila beliau membuat penampilan ke-36, mengatasi rekod Jill Scott.

Sepanyol pula memburu kejuaraan Eropah pertama mereka selepas kali terakhir layak ke separuh akhir pada edisi 1997. Mereka turut mara ke perlawanan akhir Olimpik Paris 2024, namun sekadar menamatkan kempen di tempat keempat selepas tewas kepada Jerman dalam penentuan pingat gangsa.

Perlawanan akhir di Basel dijangka berlangsung sengit dan penuh strategi, membabitkan dua pasukan terbaik dunia dalam saingan bola sepak wanita ketika ini. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN