fb fb fb fb fb

Wozniacki kembali ke gelanggang selepas umum bersara pada 2020

(FOTO IG Caroline Wozniacki)

COPENHAGEN, 29 Jun- Caroline Wozniacki mengumumkan bersedia untuk kembali bermain tenis selepas bersara daripada sukan itu pada 2020 untuk membina keluarga.

Pemain asal Denmark itu menghabiskan 71 minggu di kedudukan teratas dunia dan mengumpul 30 gelaran juara perseorangan termasuk mahkota Grand Slam di Terbuka Australia pada 2018.

Dia mengumumkan persaraannya sebelum Terbuka Australia 2020 pada usia 29 tahun, mengatakan dia ingin membina keluarga dengan suaminya, bekas pemain NBA David Lee.

Wozniacki mempunyai seorang anak perempuan bernama Olivia dan anak lelaki bernama James.

"Sejak tiga tahun lepas, saya menebus masa yang hilang bersama keluarga, saya menjadi seorang ibu dan kini mempunyai dua anak, saya sangat bersyukur," tulisnya di Twitter.

"Tetapi saya masih mempunyai matlamat yang ingin saya capai. Saya ingin menunjukkan kepada anak-anak saya bahawa kita boleh mengejar impian tidak kira umur atau apakah peranan yang dipegang sekarang.

"Kami memutuskan sebagai sebuah keluarga sudah tiba masanya saya akan kembali bermain dan saya tidak sabar!"

Wozniacki berkata dia akan mula bermain di Terbuka Kanada di Montreal pada Ogos sebelum menyasarkan Terbuka A.S. manakala matlamat jangka panjangnya ialah Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Persatuan Tenis Amerika Syarikat kemudiannya mengumumkan bahawa Wozniacki, finalis dua kali di Flushing Meadows, telah dianugerahkan wildcard untuk Grand Slam yang bermula pada 28 Ogos.

"Selepas itu, saya akan mempunyai beberapa bulan untuk bersedia ke Australia dan kami lihat bagaimana perkembangannya selepas itu. Sukan Olimpik Paris pastinya juga matlamat utama saya," tambah Wozniacki.

Pemain yang akan menyambut hari jadinya yang ke-33 tahun bulan depan, berkata dia mendapat inspirasi daripada juara Grand Slam 23 kali, Serena Williams selepas pemain Amerika itu kembali ke gelanggang selepas kelahiran anak perempuannya Olympia.-REUTERS


(Caroline Wozniacki)

Media Baharu