fb fb fb fb fb

14 atlet Muay Thai bakal berentap di Kemaman Super Fight 2023

(FOTO FB KMC)

CHUKAI, 30 Jun - Seramai 14 atlet Muay Thai dari Malaysia, Thailand dan Yaman bakal berentap di kejohanan Kemaman Super Fight 2023 di Padang Astaka di sini, malam esok.

Kejohanan tahunan anjuran Persatuan Muay Thai Daerah Kemaman itu dijangka meraih kunjungan lebih 10,000 peminat dari seluruh negara yang akan berentap dalam tujuh kategori.

Presiden Persatuan Muay Thai Daerah Kemaman yang juga Pengarah Kejohanan, Wan Ahmad Faqrul Wan Lokman berkata kejohanan tersebut membariskan tujuh regu sensasi dari dalam dan luar negara antaranya termasuk Terapong dari kelab Dragon Muay Thai, Thailand; Mat Ropi Singa Muda (Kuda Merah Polis Diraja Malaysia); Phorsawan (Thailand National Club); Maliki Singa Hitam Habiel 66 Empiyer (Black Tiger AZ Jaya) dan Adam Kodir (Muay Penyu Mas Kemaman).

(FOTO FB KMC)

"Kami amat berbangga kerana tahun ini kita mendapat penajaan daripada syarikat minuman antarabangsa, Carabao yang buat pertama kali menaja program sukan di negara ini.

"Kami juga tidak mengenakan sebarang bayaran masuk kepada penonton untuk memberi peluang kepada orang ramai hadir dan menyaksikan sendiri sukan Muay Thai dengan lebih dekat," katanya pada sidang media, di sini.

Tambah Wan Ahmad, selain Kemaman Super Fight 2023, pihaknya juga merancang untuk menganjurkan kejohanan berskala lebih besar iaitu Terengganu International Fight 2023 pada 30 September ini.

Ini bagi mencungkil lebih banyak bakat baharu dan mempromosi sukan Muay Thai dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda.

Media Baharu