fb fb fb fb fb

Liga Hoki KL: DFINI HT juara tewaskan Bukit Aman Police 3–2

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Pasukan DFINI HT dinobatkan sebagai juara Liga Hoki TNB PHKL DBKL Kuala Lumpur 2025 selepas menewaskan Bukit Aman Police 3–2 dalam aksi akhir penuh sengit di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil malam ini.

Bukit Aman Police terlebih dahulu mengejutkan DFINI HT melalui jaringan Faizal Shari.

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat suku kedua meskipun DFINI HT beberapa kali mencuba untuk menyamakan kedudukan.

Memasuki suku ketiga, DFINI HT bangkit dengan lebih tersusun apabila Muhammad Syafiq berjaya menyamakan kedudukan 1–1, sebelum Muhammad Sharil meledak gol kedua hasil pukulan sudut penalti menjadikan kedudukan 2–1.

Bagaimanapun, Bukit Aman Police kembali mengikat kedudukan 2–2 pada suku keempat menerusi jaringan Muhammad Khairul Ikhwan.

DFINI HT mengesahkan kemenangan menerusi penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Sharil, memastikan kemenangan muktamad 3–2.

Kapten DFINI HT, Muhammad Firdaus Musa, memuji persembahan pasukannya yang fokus dan tenang sehingga tamat permainan.

"Kedua-dua pasukan bermain dengan sangat baik dan lebih agresif kerana ini adalah perlawanan final. Katanya, apa yang berlaku di padang adalah normal dan melibatkan kecederaan, sebaliknya pemain terus kekal fokus sehingga tamat perlawanan, katanya yang ditemui RTM selepas tamat perlawanan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD