SHAH ALAM, 5 Julai – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi peringatan kepada Imigresen FC, supaya menamakan venue rasmi bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026 selewat-lewatnya Isnin depan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, berkata meskipun terdapat beberapa hantaran di media sosial mengenai venue rasmi kelab berkenaan, namun MFL belum menerima sebarang pemakluman rasmi daripada pihak Imigresen FC.
“Sehingga kini, kami masih belum menerima permakluman rasmi daripada Imigresen FC berhubung venue tuan rumah mereka.
“Dalam taklimat tadi, kami juga telah memaklumkan agar pihak Imigresen segera menamakan venue rasmi pasukan mereka selewat-lewatnya Isnin ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bola Rasmi Liga Malaysia Musim 2025/2026, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata semua venue bagi kawasan Pantai Timur telah disahkan sepenuhnya, manakala Stadium Darul Makmur turut disenaraikan sebagai salah satu lokasi alternatif jika ada pasukan memerlukan venue gantian.
Dalam pada itu, Mohd Shazli turut memaklumkan bahawa Kelab DPMM FC dari Brunei Darussalam bersetuju untuk menampung sepenuhnya kos perjalanan semua pasukan Liga Super yang akan bermain menentang pasukan berkenaan musim depan
Jelasnya, inisiatif itu adalah hasil perjanjian utama yang dimeterai antara DPMM FC dan MFL bagi menjamin kelancaran penyertaan kelab berkenaan dalam Liga Malaysia.