SEREMBAN, 5 Julai-Penyerang muda Luqman Hakim Shamsuddin mahu menggunakan pengalaman lima tahun beraksi di luar negara sebagai pemangkin untuk tampil lebih matang dan kompetitif bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Bekas penyerang kelab Belgium KV Kortrijk (KVK) itu mengakui tempoh berkenaan banyak mengajarnya tentang disiplin, ketahanan mental serta tahap intensiti permainan di peringkat tinggi yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya pada musim ini.
“Saya percaya Negeri Sembilan adalah tempat saya untuk bermain di Malaysia. Keyakinan diberikan oleh pihak pengurusan mengenai projek yang menarik minat saya untuk bersama pasukan. Selain itu, bimbingan Ketua Jurulatih Mohd Nidzam Jamil turut menambah keyakinan saya untuk beraksi kali ini.
“Sasaran saya mahu membantu pasukan mengembalikan zaman kegemilangan NSFC. Saya harap penyokong dapat bersabar dan terus menyokong pasukan ini, kebanyakan pemain masih baharu. Jadi, kami memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan keserasian sebagai satu pasukan,” katanya selepas majlis perasmian Warrix Concept Store oleh Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri di sini hari ini.
Pemain berusia 23 tahun itu berkata persefahaman sebagai satu pasukan amat penting untuk mencapai matlamat mengembalikan prestasi cemerlang pasukan.
Dalam pada itu, anak kelahiran Kelantan berkenaan menyifatkan perkara penting dalam pasukan adalah memastikan intensiti dalam permainan dapat diterjemahkan dengan konsisten di atas padang.
“Perbezaan beraksi di luar negara adalah dari segi intensiti perlawanan, saya sedar situasinya berbeza di sini. Saya tidak boleh mengharapkan pengalaman di Belgium akan sama, tetapi ia menjadi bekalan berharga untuk membantu pasukan mencipta sesuatu yang positif pada musim ini,” katanya.
Untuk rekod, Luqman Hakim adalah pemain pertama negara yang mengikat kontrak dengan kelab utama Eropah iaitu KVK selama lima musim bermula 2020.
Sepanjang tempoh itu, Luqman beberapa kali beraksi dalam skuad utama dan pasukan pembangunan KVK sebelum dipinjamkan ke kelab luar seperti pasukan utama Liga Iceland Njarovik FC dan kelab Jepun YSCC Yokohama.-BERNAMA.