fb fb fb fb fb

Kyle Walker sertai Burnley dengan kontrak dua tahun

Foto Facebook kyle.walker2

LONDON, 5 Julai – Pertahanan England, Kyle Walker, telah menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris, Burnley, dengan yuran perpindahan dilaporkan sekitar £5 juta pound atau (RM32 juta) dibayar kepada Manchester City.

Pemain berusia 35 tahun itu telah membuat 410 penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan memenangi liga sebanyak enam kali bersama Manchester City, selain menjulang kejuaraan Liga Juara Eropah.

Walker sebelum ini menghabiskan separuh kedua musim 2024/25 secara pinjaman bersama kelab AC Milan, namun kelab Itali itu tidak menggunakan opsyen untuk membeli beliau secara tetap.

Kontrak asal Walker bersama City, yang disertainya pada tahun 2017, sepatutnya tamat pada penghujung musim 2025/26.

“Saya sangat gembira berada di sini,” kata Walker dalam kenyataan dikeluarkan Burnley pada Sabtu.

“Apabila saya berbincang dengan pengurus Scott Parker dan mendengar perancangannya untuk musim depan, saya terus menyambar peluang ini.”

“Beliau telah melakukan kerja yang luar biasa di sini, membawa Burnley kembali ke Liga Perdana dengan kutipan 100 mata, dan kini kami sama-sama bersedia untuk mengharungi cabaran dalam liga terbaik dunia ini.”

Walker, yang telah meraih 96 caps antarabangsa bersama skuad kebangsaan England, tidak disenaraikan dalam skuad Manchester City bagi kejohanan Piala Dunia Kelab, menyebabkan perpindahan ini telah dijangka lebih awal.

Perpindahan berkenaan turut menyaksikan Walker kembali bekerjasama dengan Scott Parker, yang pernah menjadi rakan sepasukan ketika bersama Tottenham Hotspur antara 2011 hingga 2013.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD