fb fb fb fb fb

Witchcraft juara peringkat pertama RMSIR 2023

Skipper kapal layar ‘Witchcraft’ dari Hong Kong Nick Burns (kiri), 79, menerima plak daripada Pengerusi Raja Muda Selangor International Regatta Irsyad Ismail (kanan) setelah menjuarai saingan peringkat pertama bagi Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2023 dari Port Klang ke Pulau Pangkor Perak / BERNAMA

PULAU PANGKOR, 20 November- Pasukan Witchcraft dari Hong Kong beraksi cemerlang apabila menjuarai saingan peringkat pertama Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2023 dari Port Klang ke Pulau Pangkor, Perak, semalam.

Perlumbaan lapan hari, bermula Sabtu menyaksikan skipper Nick Burns, 79, bersama kru kapal unggul menguasai kelas pertama setelah merekodkan masa 18 jam 43 minit 27 saat.

Kru kapal itu disertai Cameron Ferguson, Darwin Santos, Peter Fletch, Fred Kinmonth, Heather Hard, Peter Baer, Warcz Downes, Zack Izham, Wilfred Kam dan Maueen Mueller.

"Ini adalah satu pertandingan yang baik dan saya mempunyai kru yang hebat, jadi saya rasa kita mempunyai peluang yang baik (untuk menang). Setelah semua ini adalah kali ke-12 saya bersaing dalam RMSIR dan menggunakan bot saya sendiri.

"Tahun lalu saya menang dengan pasukan Windsikher...jadi semoga berjaya lagi tahun ini," kata Burns kepada Bernama.

Mereka menewaskan pasukan ‘The Next Factor’ dari Australia yang berada di kedudukan kedua setelah merekodkan 19:05.03s manakala pasukan Malaysia, Uranus terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan catatan 19:08.19s.

Sementara itu bagi saingan kelas 2 dimenangi pasukan Shahtoosh dari United Kingdom, manakala pasukan Singapura, Silhouette mengungguli kelas 3 dan pasukan Lady Bubbly dari Australia menjuarai kelas 4.

Pasukan Malaysia turut cemerlang apabila Dash dan Marikh masing-masing mengungguli kelas 5 dan 6 bagi peringkat pertama perlumbaan.

Perlumbaan selama lapan hari sehingga 25 Nov itu, yang disertai 19 pasukan akan meneruskan perlayaran ke Pulau Pinang dan berakhir di Pulau Langkawi.

RMSIR merupakan kejohanan kapal layar tertua di Asia sejak kali pertama dianjurkan pada 1989.

Kejohanan berkenaan dicetuskan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda masih bergelar Raja Muda Selangor.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE