BRUSSELS, 20 November - Penyerang Belgium, Romelu Lukaku menjaringkan empat gol dalam tempoh 20 minit ketika Belgium menang ke atas Azerbaijan yang bermain 10 orang pada perlawanan kelayakan Euro 2024, Kumpulan F, di sini pada Ahad.
Lukaku yang telah mengumpulkan 14 gol dalam lapan perlawanan mempamerkan sentuhan berbisanya bagi meletakkan Belgium selaku pendahulu kumpulan, manakala Azerbaijan di kedudukan keempat kumpulan dengan tujuh mata.
Pada perlawanan tersebut, Belgium yang terlebih dahulu telah menempah tiket ke Euro 2024 di Jerman tahun depan membuka tirai jaringan melalui Lukaku pada minit ke-17 berpunca daripada umpanan lintang Jeremy Doku yang tidak dikawal oleh pertahanan Azerbaijan.
Nasib malang menimpa Azerbaijan apabila pemain pertahanannya, Eddy Israfilov dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil selepas melakukan terjahan keras terhadap Lukaku.
Kesempatan tersebut dimanfaatkan oleh Belgium dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit melalui Lukaku.
Azerbaijan yang semakin tertekan dihukum sekali lagi dengan gol keempat Lukaku pada minit ke-37 hasil umpanan Orel Mangala.
Gol tersebut merupakan gol ke-14 dan merupakan rekod jaringan terbanyak dilakukan ketika pusingan kelayakan Euro.
Leandro Trossard menjaringkan gol kelima Belgium pada minit-minit akhir perlawanan bagi menjadikan keputusan akhir 5-0.
Kemenangan itu meletakkan Belgium di tangga teratas kumpulan dengan 20 mata sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah pengurus baharu pasukan berkenaan, Domenico Tedesco kepada 10 perlawanan.-REUTERS