fb fb fb fb fb

Wira Piala Dunia Argentina, Menotti meninggal dunia pada usia 85 tahun

Bekas jurulatih kebangsaan Argentina, Cesar Luis Menotti/ Foto Reuters

BUENOS AIRES, 6 Mei - Bekas jurulatih Argentina, Cesar Luis Menotti yang mengetuai Argentina menjulang gelaran Piala Dunia 1978 dilaporkan meninggal dunia pada usia 85 tahun, kata Persekutuan Bola Sepak Argentina (AFA) pada Ahad.

"Persekutuan Bola Sepak Argentina (AFA) dukacita mengumumkan berita sedih kematian Cesar Luis Menotti, Pengarah pasukan bola sepak kebangsaan dan bekas jurulatih Piala Dunia 1978 yang berjaya memenangi Piala Dunia buat kali pertama", kata badan sukan kerajaan berkenaan dalam kenyataan.

Sepanjang hayatnya, Menotti bermain di beberapa kelab gergasi Amerika Selatan, antaranya Rosario Central, Boca Juniors dan Santos sebelum memulakan kerjaya jurulatihnya di Newell Old Boys.

Namanya memuncak apabila berjaya membawa kelab Huracan menjuarai Liga Argentina pada 1973.

Menotti kemudiannya dilantik sebagai Ketua jurulatih Argentina pada 1974 sebelum melakar sejarah sebagai jurulatih pertama yang berjaya mendakap Piala Dunia pada 1978.

Dia kemudiannya meninggalkan pasukan kebangsaan Argentina selepas Piala Dunia 1982 dan kemudiannya berkelana ke La Liga dengan menyertai Barcelona sebagai pengurus dan berjaya membimbing kelab berkenaan menjuarai Piala Raja sepanyol pada 1983.

Sementara itu, bintang bola sepak dan ketua pasukan Argentina, Lionel Messi menyatakan kesedihan berikutan pemergian jurulatih legenda yang disifatkan sebagai ikon dan rujukan bola sepak negara berkenaan.

"Salah satu daripada rujukan bola sepak Argentina telah meninggalkan kita. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga. Semoga rohnya bersemadi dengan tenang", kata Messi menerusi sosial medianya.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD